No posts.
No posts.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN
Wish u all the best. Moga Ketabahan & Ketenangan menjadi milik kita..Kerana diri kita begitu berharga

BERSAMA AHLI LEMBAGA KAUNSELOR : PROF.SURADI SALIM

Ikuti temubual perkongsian maklumat berikut:
Kaedah mengesan bakat pelajar dalam bidang diminati.


1. APA itu Lembaga Kaunselor dan boleh Dr huraikan serba sedikit mengenainya?

Lembaga Kaunselor ialah agensi yang ditubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berasaskan kepada Akta Kaunselor 1998. Lembaga Kaunselor adalah ahli yang dilantik menteri. Ia bermatlamat mengawal selia perkhidmatan kaunseling yang ditawarkan di negara ini, di samping memberi latihan serta mendaftar dan menentukan kaunselor layak menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada rakyat negara ini. Kaunselor mempunyai pelbagai peranan dan satu daripadanya ialah dalam bidang kaunseling kerjaya.

2.Apa pendapat profesor mengenai pengangguran hampir 60,000 graduan yang dilaporkan akhbar sebelum ini dan bagaimana kaunselor boleh memainkan peranan?

Pertama sekali saya ingin menyatakan, pengangguran keseluruhan di Malaysia ialah tiga peratus saja dan kalau dibandingkan dengan negara lain, kadar itu masih rendah dan tidak menggambarkan langsung suatu masalah. Malah di mana-mana negara pun mesti ada sebahagian rakyatnya tidak bekerja atas sebab seperti kecacatan, ketinggalan dalam pendidikan dan sebagainya. Sebenarnya bagi negara kita, jumlah yang disiarkan boleh dianggap sebagai tiada masalah menganggur pun. Cuma berbanding negara lain, pengangguran berlaku di negara lain disebabkan ketiadaan pekerjaan berikutan kegawatan ekonomi yang menyebabkan industri tidak dapat berkembang hingga pengangguran apabila ketiadaan pekerjaan. Ia berlaku di negara maju, berbanding di negara kita keadaannya berbeza. Perkara yang menjadi masalah ialah apabila sebahagian besar daripada mereka yang menganggur adalah berpendidikan tinggi. Kita memerlukan tenaga pekerja, hingga ada sektor dan jabatan yang mencari pekerja dan berlaku kekosongan tetapi tidak dapat memperoleh tenaga kerja diperlukan. Tidak ada pekerja kerana tiada orang terlatih dan berkelayakan mengisi kekosongan dalam bidang tertentu itu. Pada masa sama, ada lepasan ijazah pertama, tetapi tidak sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan. Kekosongan jawatan bukan berbentuk keperluan umum, ia memerlukan kelayakan khusus yang memerlukan lulusan berpendidikan serta lama dilatih dalam bidang berkenaan. Di sini, kaunselor memainkan peranan utama memberi bimbingan kepada siswazah bakal bergelar graduan.

3. Apa pendapat dan cadangan profesor supaya perkara seumpamanya tidak berlaku pada masa depan serta negara mencapai kadar pengangguran sifar?

Dalam aspek ini, saya melihat ada dua perkara penting perlu diberikan perhatian. Pertama, pihak berkuasa perlu membuat perancangan sumber manusianya dengan baik. Untuk merancang kita perlu mempunyai ramalan mengenai keperluan pekerjaan mungkin berlaku empat atau lima tahun akan datang. Ia tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai pelbagai rancangan pembangunan ekonomi seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Menerusi perancangan seperti itu, kita boleh membuat ramalan mengenai berapa peratus juruterbang, saintis, doktor pakar dan pakar perakaunan diperlukan dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Kita perlu membuat perancangan jenis tenaga manusia yang kita perlukan dan dengan cara itu, kita boleh sediakan tenaga kerja dalam bidang diperlukan. Bagaimanapun, dalam keadaan biasa maklumat itu hanya berlaku pada masa kita memerlukan, ibarat kata 'sudah terhantuk, baru tengadah'.

4. Adakah profesor berpendapat perkhidmatan bimbingan kerjaya perlu dibuat lebih awal?

Harus ada usaha untuk memperkuatkan perkhidmatan bimbingan kerjaya di sekolah kerana menerusi program lebih terancang, pelajar pada peringkat awal lagi sudah dibantu merancang masa depan dan ia terbukti berjaya dilaksanakan di banyak negara maju termasuk Amerika Syarikat. Kita perlu menerima hakikat dengan perancangan rapi bimbingan dan tersusun pada peringkat awal menyebabkan Amerika Syarikat mampu kekal menjadi negara maju dalam banyak disiplin serta melahirkan pekerja yang baik. Amerika Syarikat berpendapat peranan kaunselor kerjaya amat penting hingga mampu menyediakan kaunselor pada kadar 1:250 (seorang kaunselor bagi setiap 250 pelajar). Di sini kaunselor memainkan peranan penting membantu pelajar mengenal pasti bakat, kebolehan, minat dan tahap kecerdasan serta menyesuaikan diri dengan kursus diambil bagi memenuhi keperluan sesuatu kerjaya. Memang menjadi lumrah dan semula jadi individu dilahirkan dengan bakat, kebolehan, minat dan kecerdasan berbeza. Dari sini, kita boleh merancang seseorang pelajar mengambil mata pelajaran khusus seperti jika ingin menjadi doktor mereka perlu cekap dan mendapat kelulusan cemerlang dalam mata pelajaran biologi dan mata pelajaran sains lain, di samping mata pelajaran lain, manakala untuk menjadi jurutera mereka perlu cekap dalam mata pelajaran Fizik, Kimia selain Matematik. Pelajar yang sudah dikenal pasti kecenderungannya dapat disalurkan ke bidang khusus dan di sini, kaunselor dapat membantu pelajar membuat pengkhususan kerjaya dan akhirnya memenuhi keperluan pekerjaan, pada masa sama mengelak pembaziran dan mengurangkan pengangguran kerana mereka sudah disalurkan memasuki bidang latihan dan kemahiran sesuai keperluan semasa.

5. Pada tahap manakah usia seseorang pelajar itu patut kita berikan tumpuan dan mengenal pasti potensi masing-masing supaya ia selaras keperluan perancangan dan ramalan kerjaya masa depan?

Potensi seseorang pelajar itu boleh dikenal pasti apabila mereka mencapai usia belasan tahun. Jika di Malaysia, usia paling sesuai ialah ketika berumur 16 tahun. Pada peringkat ini, sebenarnya kita sudah melaksanakan perpadanan mengikut keputusan dicapai dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang menentukan sama ada seseorang pelajar itu meneruskan pelajaran dalam aliran sains, teknik, perdagangan, vokasional atau sastera. Bagaimanapun kita belum melaksanakan secara sistematik mengikut bidang. PMR dapat mengukur apa yang sebenarnya pelajar itu kuasai selepas belajar di sekolah menengah selama tiga tahun, tetapi apa yang dipelajari pada peringkat itu sebenarnya tidak semestinya menggambarkan kebolehan, bakat dan kecerdasan semula jadi mereka. Memang secara umum, pelajar cemerlang pada peringkat PMR mungkin juga cerdas dan berbakat tinggi. Tetapi tidak semestinya kecerdasan mereka dilahirkan atas keupayaan sendiri, mungkin mereka berpeluang belajar di sekolah sememangnya terbukti bagus dengan barisan guru berkebolehan, ditambah pula dengan latar belakang keluarga yang memberikan perhatian khas sebagai persediaan mengambil peperiksaan PMR seperti memberi tuisyen dan kemudahan diperlukan supaya dapat mengkaji mata pelajaran peperiksaan dengan baik. Peperiksaan itu lebih kepada mengukur apa yang mereka belajar dan kemungkinan apa yang mereka hafal, bukan berdasarkan kepada tahap kecerdasan sebenar. Pada tahap ini kecerdasan tidak dapat digambarkan.

6. Boleh profesor huraikan bagaimana tahap kecerdasan seseorang itu dapat diukur dan memudahkan perancangan mengisi keperluan kerjaya pada masa depan?

Kesedaran mengenai tahap kepintaran dan kecerdasan itu bermula sejak 1906 dan dari situ pakar mula membina alat ukur khas untuk mentafsir kecerdasan seseorang. Pada perang dunia pertama dan kedua, ujian kepintaran sudah dibina bagi menyalurkan rekrut tentera ke dalam bidang kepakaran masing-masing seperti kecerdasan bagaimana layak dilantik sebagai pegawai atau ditugaskan di bahagian tertentu seperti teknikal, taktikal perang, perundangan dan kemanusiaan. Alat ini mula disedari ahli kaunseling kerjaya dalam membantu calon menentukan masa depan mereka dalam kerjaya. Ada empat jenis ujian boleh dilaksanakan iaitu ujian kepintaran, ujian kecerdasan emosi, ujian minat dan ujian personaliti. Ujian kepintaran contohnya dapat mengukur kecerdasan seseorang dan mengesan bentuk kerjaya sesuai dengan mereka, manakala contoh bagi ujian bakat tidak mengukur kecerdasan seseorang berdasarkan kecemerlangan dalam akademik. Ujian yang dilakukan dapat mengenal pasti ketulenan bakat walaupun mereka tidak cerdas dalam mata pelajaran tertentu. Ujian inilah sebenarnya membantu seseorang yang berbakat untuk menjadi jurutera dikesan. Mungkin mereka tidak cemerlang dalam mata pelajaran asas untuk menjadi jurutera, paling tidak dengan mengesan bakat itu kita boleh merancang bantuan tertentu yang akhirnya dapat melahirkan calon jurutera cemerlang dan aspek ini tidak diajar atau dipelajari di sekolah.

6. Apa pendapat profesor mengenai bimbingan kerjaya yang dilaksanakan di negara ini?

Secara umum apa yang diamalkan oleh guru bimbingan kerjaya di sekolah ialah mengadakan ceramah kerjaya, bukan bimbingan sebenar seperti harus mereka lakukan. Oleh itu, sekolah perlu menyediakan maklumat dunia kerjaya yang ada pada masa depan. Contohnya, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) perlu membuat penyelidikan keperluan kerjaya dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang. Perancangan itu perlu kerana pelajar yang berusia antara 14 hingga 16 tahun hanya akan bekerja lima atau lapan tahun berikutnya. Penyelidikan itu akan mengetahui bidang mengalami kekurangan pada masa itu (ketika pelajar kini berusia belasan tahun memasuki pasaran pekerjaan). Jika di Amerika Syarikat, panduan atau 'outlook handbook' pekerjaan disediakan sebagai rujukan calon untuk mengetahui jenis pekerjaan dan sektor memerlukan tenaga kerja dan calon boleh mempersiapsiagakan diri bagi berhadapan dengan keadaan itu. Syarikat atau agensi pula menggunakan panduan itu untuk merancang keperluan mereka dan merancang atau melakukan penyelidikan mengikut keperluan industri masing-masing, manakala kaunselor menggunakannya untuk merancang bentuk bimbingan sesuai kepada pelajar mereka.

7. Boleh profesor jelaskan jenis pekerjaan yang ada di Malaysia?

Kita di Malaysia mempunyai lebih daripada 36,000 jenis pekerjaan dan masalah pengangguran di kalangan graduan sepatutnya tidak berlaku, cuma lulusan yang ada tidak boleh dipadankan dengan keperluan sektor. Kebanyakan mereka berkelulusan dalam bidang umum saja, sedangkan keperluan pasaran pekerjaan lebih menjurus kepada bidang tertentu. Mereka tidak didedahkan dan tiada bimbingan dalam pemilihan kursus ditawarkan, manakala pengurusan IPT tidak melakukan penyelidikan keperluan kerjaya pada masa depan dan disesuaikan dengan tawaran kursus. Kebanyakan mahasiswa kita tidak tahu kursus atau bidang patut dipilih untuk melanjutkan pelajaran. Kalau adapun mereka sekadar melihat contoh kepada kejayaan senior atau abang atau kakak yang berjaya dalam kerjaya masing-masing tanpa mengetahui adakah mereka benar-benar komited dan sesuai dengan bakat semula jadi yang ada pada orang terdahulu yang sudah memasuki pasaran pekerjaan.

8. Apa akan berlaku jika tenaga kerja sedia ada memasuki pasaran pekerjaan tetapi tidak memenuhi kecenderungan dan bakat semula jadi mereka?

Kita tidak dapat melahirkan pekerja yang gembira dengan kerjaya mereka dan dunia pekerjaan yang sentiasa bermotivasi. Ia akan menyebabkan pekerja tidak menyukai pekerjaan diceburi hingga menyebabkan mereka ponteng, ambil cuti sakit, malas ke tempat kerja, tidak ikhlas atau pelanggan berhadapan masalah hingga menjejaskan imej organisasi. Kebanyakan daripada tenaga kerja di negara ini menjawat jawatan hanya kerana kebetulan dan berasa terpaksa bekerja dan hanya segelintir yang benar-benar menyertai bidang sesuai dengan kecerdasan, bakat, minat dan personaliti. Atas sebab itu keghairahan bekerja tidak ada, berbanding di negara maju jumlah ketagih kerja lebih ramai berbanding pemalas. Kita tidaklah mahu ramai sangat yang ketagih di Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya minat bekerja bersungguh-sungguh dan dapat meningkatkan produktiviti dan tidak berasa bosan untuk bekerja.

9. Bolehkah seseorang calon yang dianggap tersilap memilih kursus di IPT mengubah haluan dengan memilih kursus sesuai dengan bakat sebenar?

Sudah terlambat, susah hendak diubah haluan dan memerlukan perbelanjaan besar serta menjejaskan minda siswazah kerana kebanyakan daripada siswazah kita diterima memasuki IPT berdasarkan kelayakan dan mengambil pelajaran yang ditawarkan mengikut fakulti atau jabatan masing-masing.

Sumber : Zulkifli Md Ali - Berita Harian, 05 Disember 2007